Estet Pekebun Kecil Sdn Bhd (ESPEK), adalah sebuah syarikat milik penuh Pihak Berkuasa
Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA). Ditubuhkan pada 11 Julai 1981 di bawah Akta
Syarikat 1965 dengan tujuan untuk mengurustadbir ladang-ladang RISDA yang telah
dibangunkan di bawah konsep Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB).
ESPEK telah dipertanggungjawab
untuk mengurus ladang-ladang RISDA yang meliputi kawasan seluas 39,137.37 hektar.
Kawasan yang ditanam dengan kelapa sawit adalah seluas 38,832.37 hektar manakala
selebihnya adalah kawasan tanaman getah. Ladang-ladang RISDA yang diuruskan oleh ESPEK terletak di Semenanjung
Malaysia.
ESPEK juga telah diamanahkan untuk
mengurus dan mengawal selia dua (2) buah kilang kelapa sawit RISDA bagi memastikan
supaya semua BTS dari ladang-ladang RISDA dihantar ke kilang-kilang tersebut untuk
diproses.
ESPEK turut menyediakan
perkhidmatan agronomi yang merangkumi kajian dan penyelidikan makmal di bawah seliaan
ESPEK Research & Advisory Services (ERAS).
Di samping itu, ESPEK juga
mengusahakan ternakan lembu secara integrasi di dalam ladang-ladang RISDA. Ternakan ini
diurus oleh ESPEK Livestock Sdn. Bhd. (ELSB). Lembu-lembu ESPEK dijual secara komersial
pada hari raya korban dan mengikut permintaan pasaran. Ianya telah mendapat sambutan yang
menggalakkan di pasaran dan dijual pada harga yang berpatutuan dan kompetitif. Melalui
ELSB, ESPEK sentiasa berusaha meningkatkan produktivi bagi memaksimumkan keuntungan dan
seterusnya meningkatkan taraf hidup pekebun-pekebun kecil.
Pada tahun 2003, ESPEK mula
menceburi bidang pemetaan ladang secara digital dengan menggunakan teknologi GPS dan GIS.
Dengan adanya perkhidmatan ini, keuntungan ladang-ladang RISDA telah dapat dipertingkatkan. Perkhidmatan ini
telah diperluaskan lagi dengan mengukur ladang-ladang luar seperti Felda Plantation,
Felcra Berhad, Ladang Sg. Terah Sdn. Bhd., FIMA Corporation Bhd. dan lain-lain.