Ladang-ladang RISDA yang diurustadbir oleh ESPEK telah melaksanakan pemetaan digital
dengan menggunakan teknologi GPS-GIS. Pemetaan digital yang dijalankan oleh pihak ESPEK
adalah menggunakan alat Trimble Mapping Grade GPS iaitu GEO CE XT yang terkini dengan
ketepatan 'sub-meter'.
Pemetaan GPS-GIS meliputi
kawasan sawit matang, sawit belum matang dan kawasan getah yang belum matang. Ia meliputi
sempadan perimeter ladang, sempadan field, sempadan sub-field, semua jalan-jalan utama,
jalan-jalan pertanian, struktur bangunan, sungai, parit, kolam, tasik, paya, kawasan
terlebih tanam dan kawasan tidak bertanam. Di samping itu juga penyediaan peta kontor dan
peta tanah bagi sesebuah ladang juga telah dilaksanakan. Semua proses penyediaan peta
dilakukan dengan menggunakan perisian Mapinfo Professional.
Maklumat yang boleh
diperolehi adalah seperti keluasan kawasan sebenar yang telah diukur, panjang jalan-jalan
utama, jalan-jalan pertanian dan sungai serta data sejarah (historical data) akan
dimasukkan ke dalam pangkalan data GIS sehingga ke peringkat sub-field bagi membantu pihak
pengurusan mengawalselia, membuat anggaran bajet dan membuat perancangan untuk
menghasilkan keputusan yang lebih cepat dan tepat.
Sistem GIS yang dibekalkan
kepada pihak ladang adalah Sistem GLUES (General Land Use For Estate System) di mana
pihak ladang akan mengemaskini data dari masa ke semasa dan mengeluarkan laporan analisis
prestasi ladang dan penambahbaikan.
Hasil dari penggunaan Sistem
GLUES ini, pihak Ibu Pejabat dan Penyelaras Zon dapat memantau prestasi ladang dan membuat
analisis ke atas sesebuah ladang dari segi kos dan penghasilan dengan berhubung terus
kepada Pengurus Ladang untuk dibuat semakan dan tindakan.